Saturday, May 28, 2011

Dinar Dirham: KGT sasar 20 ribu kedai
Muhammad Yusri Amin   

KOTA BHARU, 28 Mei:  Kelantan Golden Trade (KGT) mensasarkan 20,000 peniaga yang berminat menerima urusniaga Dinar dan Dirham bagi menyemarakkan penggunaan mata wang syariah.
Pengarah Eksekutif KGT Nik Mahani Mohamad berkata, tindakan proaktif itu bagi mempopularkan semula penggunaan mata wang syariah di kalangan umat Islam.
“Untuk 2011 kami target pendaftaran 20,000 kedai termasuk kedai kepunyaan non-muslim yang sedia menerima Dinar dan Dirham sebagai mata wang syariah.
“Dan diharap ia menjadi pencetus kepada pembayaran gaji kakitangan kerajaan, pembayaran zakat dan aktiviti jual beli rakyat menggunakan Dinar dan Dirham” katanya pada persidangan media sempena Kempen Dinar Emas Kelantan 2011 di sebuah hotel di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi KGT, Umar Ibrahim Vadillo. Sekarang lebih 2,000 pekedai berdaftar dengan KGT di seluruh Malaysia.
Nik Mahani juga berkata, KGT kini berusaha menyemarakkan lagi penggunaan mata wang syariah, di mana telah dimulakan kempen sejak dua bulan lalu di Kuala Lumpur.
“Di samping mendekati rakyat, program itu juga dilaksanakan sempena pelancaran Projek Printis Pasar Terbuka Pasar Besar Siti Khadijah di Kelantan,” ujarnya.
KGT juga melancarkan Khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bagi memudahkan pengguna mengetahui harga harian Dinar dan Dirham pada sepanjang tahun.
Selain itu KGT turut menyertai Karnival Halal Kelantan 2011 yang akan dirasmikan Tengku Mahkota Kelantan pada 29 Mei di Balai Islam.

sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/world/83-negeri-kelantan/3520-dinar-dirham-kgt-sasar-20-ribu-kedai-

No comments:

Post a Comment