Wednesday, February 23, 2011

Berita Emas di Berita Harian

Ahmet Davutoglu 
Ahmet Davutoglu
Ketegangan Afrika Utara, Asia Barat pengaruhi harga

HARGA emas meningkat melebihi AS$1,400 (RM4,284) satu auns semalam, pertama kali dalam tempoh hampir tujuh minggu, berikutan ketegangan yang terus memuncak di Afrika Utara dan Asia Barat.
Ketegangan kini merebak dari Mesir dan Tunisia ke negara Asia Barat dan Afrika Utara lain apabila penunjuk perasaan berkumpul membantah pemerintahan pemimpin yang sudah memegang kuasa begitu lama.
Harga emas sesi dagangan semalam naik sehingga AS$1,400.40 (RM5,041.44) satu auns daripada paras AS$1,388.58 (RM4,249.05) satu auns ketika didagangkan di New York Jumaat lalu.

Harga kontrak hadapan emas bagi April naik AS$11.70 (RM35.8) satu auns kepada AS$1,400.30 (RM4,284.91).

“Tidak dapat disangsikan lagi bahawa kenaikan logam berharga itu yang berlaku sejak kebelakangan ini berikutan ketegangan di Asia Barat,” kata Daniel Major, Penganalisis di RBS Global Banking & Markets.

“Jika (pembelian) tidak dibuat menerusi dana dagangan bursa atau di Comex, ia kemungkinan besar dibuat menerusi pasaran dagangan fizikal iaitu pembelian syiling atau jongkong emas kecil, dan saya tidak menolak kemungkinan adanya pembelian lebih besar oleh individu kaya jika dilihat daripada keadaan ketegangan yang belum berkesudahan,” katanya.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, semalam berkata revolusi di Tunisia akan menjadi model kepada lain-lain negara yang ingin melakukan pembaharuan politik.

Tentangan terus diberikan kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang terus merebak di ibu negara, Tripoli kelmarin dan anak lelaki berikrar untuk terus bertahan ketika semakin ramai penunjuk perasaan terbunuh di timur negara itu.

Harga minyak pula terus naik hampir sebanyak AS$3 setong kepada paras tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun ketika peniaga melihat berlakunya ketegangan yang tidak berkesudahan di negara pengeluar minyak utama, Libya.

Harga saham di Eropah turut jatuh berikutan krisis itu.

Dalam dagangan semalam, harga perak naik setinggi AS$33.46 (RM102.38) satu auns, platinum pada AS$1,844.25 (RM5,643.4) satu auns manakala palladium pada AS$859 (RM2,628.54) satu auns. – REUTERS
Nov 092010
LONDON 8 Nov. – Ketua Bank Dunia, Robert Zoellick menggesa pemimpin-pemimpin ekonomi dunia mempertimbangkan penggunaan semula emas dalam sistem monetari sebagai pengukur dalam pergerakan mata wang.
Beliau membuat cadangan itu kerana bimbang berlaku ‘peperangan mata wang’ dalam suratnya yang diterbitkan dalam Financial Times.
Gambar Hiasan - Robert Zoellick
Zoellick berkata, sistem itu perlu terlibat dalam dolar, euro, yen, pound dan renminbi yang kini diperdagangkan di peringkat antarabangsa.
”Sistem ini juga boleh mempertimbangkan penggunaan emas sebagai rujukan antarabangsa bagi jangkaan pasaran berkaitan inflasi, deflasi dan nilai mata wang hadapan,” tambahnya.
Amerika Syarikat (AS) kini semakin konsisten mengkritik China kerana menurunkan nilai renminbi dengan tujuan untuk mengambil faedah dalam pasaran eksport.
Ekoran kritikan itu, China membalas balik dengan mencetak AS$600 bilion (RM1.8 trilion) duit baru sambil mendakwa untuk memberi AS kelebihan persaingan.
”Sekiranya polisi domestik adalah polisi optimum bagi AS, tetapi pada masa sama ia bukan polisi optimum bagi dunia, ia mungkin membawa banyak kesan negatif kepada dunia,” menurut Ketua Bank Negara China, Zhou Xiaochuan.
China melahirkan kebimbangan polisi monetari Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan nilai dolar, menyebabkan eksport negara itu merosot.
Berikutan itu, China menggesa pemantauan terhadap pergerakan dolar AS semasa mesyuarat G20 di Seoul pada minggu ini.
Standard emas dipinggirkan oleh bekas Presiden AS, Richard Nixon pada 1971 kerana nilai dolar jatuh menjunam berbanding emas.
Emas dipercayai boleh membantu menangani inflasi tetapi ia tidak dibenarkan bagi polisi monetari fleksibel, yang mana kebanyakan pakar ekonomi mendakwa ia perlu dalam menangani kejutan ekonomi. – AFP
Sumber:Utusan Online