Artikel menghilangkan stress :)
Wanita : Bukan Sekadar Ibu Tapi Juga Isteri
Setelah pelbagai cara dicuba, akhirnya anak yang didambakan lahir ke dunia. Ramai bapa yang menyangka bahawa tugas untuk menjaga, memandikan, menidurkan, menyusukan dan pelbagai layanan yang diperlukan oleh anak-anak adalah ibunya. Pantang anak menangis ibulah orang yang bakal dicari. Lalu ibu disibukkan dengan tugas memenuhi keperluan anak yang kian bertambah saban tahun apabila bilangan anak juga kian bertambah.
Disebabkan kesibukan menjaga anak-anak, si ibu terlupa untuk mempersiapkan dirinya tampil menawan seperti di awal pernikahan dulu. Baginya, anaklah yang utama sehingga makan pun tidak berkesempatan lagi. Apatah lagi jika ibu adalah wanita berkerjaya, lagilah kepenatan tatkala tiba di rumah. Belum termasuk anaknya adalah anak istimewa yang menuntut perhatian yang lebih. Bagi suami, itukan tugas rasmi ibu rumah tangga. Lalu ramai suami yang berlepas tangan daripada turut meringan tanggungjawab isteri dalam mengurus rumah dan anak-anak.
Sayangnya, kesibukan seharian ibu bukan sekadar mengakibatkan si ibu terabai mengurus diri sendiri tapi tidak berkesempatan melayan suami yang dirasakan sudah dewasa untuk mengurus diri sendiri berbanding anak-anak yang masih kecil. Akibatnya, si suami mula berjauh hati, perhatian isteri bukan lagi untuknya tapi dirasakan perhatian tersebut diberikan secara berlebihan terhadap anak-anak. Kekosongan ini cukup besar buat seorang suami tapi seringkali dibincangkan bersama rakan-rakan di luar rumah dan bukannya bersama isteri yang merupakan aktor utama dalam rumah tangga mereka.
Lalu masalah kian bertambah apabila wujud orang ketiga dan sebagainya. Sedangkan pada awalnya masalah diceritakan sekadar untuk didengari dan difahami tapi ternyata pada tempat yang tidak tepat. Masalah ini bukan masalah baru dan dihadapi oleh segelintir pasangan yang berumahtangga tapi dihadapi oleh semua pasangan yang pernah berumahtangga. Persoalannya bukan pada masalah tapi bagaimana kita menghadapa masalah tersebut.
Jika suami merasa dirinya diabaikan oleh isteri, pertamanya anda perlu telus untuk berterus-terang dengan pasangan anda. Menjaga dan mendidik anak, mengurus rumahtangga, bekerja dan melayan suami adalah tugas besar untuk para isteri. Dan anda sebagai suami seharusnya berasa bersyukur kerana isteri anda berusaha untuk melakukan semua tugas tersebut yang mana jika anda yang mengambil alih semua tugasan isteri selama seminggu tentu sekali anda akan pengsan keletihan. Jadi apa yang perlu anda lakukan sekarang ?
Menghargai
Hargailah usaha isteri dalam melaksanakan semua tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu yang mana semua tugasan tersebut mungkin perkara baru baginya. Hakikatnya ramai isteri yang baru belajar ilmu rumahtangga setelah nikah seperti ilmu memasak, mengemas rumah, menjaga anak, menjaga suami dan sebagainya. Jadi hargailah pengorbanannya.
Membantu
Jika anda menyayangi isteri anda, tak salah jika anda membantu tugasan isteri anda seperti menjaga anak, memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan membantu isteri, ikatan cinta isteri terhadap anda akan bertambah utuh. Dengan itu juga suami dapat merasai sendiri bagaimana susahnya menjaga anak, mengurus rumahtangga di samping mempunyai kerjaya di luar rumah. Dalam masa yang sama suami sebenarnya memberi ruang waktu untuk isteri mengurus dirinya sendiri dan tampil menawan seperti dulu. Sebelum terlupa anak isteri juga adalah anak anda, maka tugas mendidik dan menjaga anak bukan sahaja tugas isteri tapi tugas suami juga. Hasilnya, anda akan lebih disayangi dan dihormati oleh anak-anak.
Nyatakan suara hati
Jika anda ingin hubungan anda seromantis dulu apalah salahnya jika anda menyuarakan suara hati anda kepada pasangan bukan pada orang lain yang tidak dapat menyelesaikan masalah anda. Buatlah kejutan pada pasangan anda seperti membeli hadiah yang disukainya. Banyakkan berdoa pada Allah agar diberi jalan keluar untuk permasalahan yang anda hadapi.
Beradaptasi
Kita perlu sedar bahawa masa privercy untuk suami isteri bersama agak terhad apabila mempunyai anak. Jadi anda perlu bijak mengurus waktu untuk bersama. Kesefahaman dan tolak ansur sangat penting agar bahtera rumahtangga yang kita bina tetap teguh walau badai melanda.
Kepada para isteri, lidah suami selalu berada di belakang hatinya. Lelaki jarang sekali meluahkan sesuatu dengan kata-kata, maka isteri perlu bijak membaca bahasa badan para suami. Sebolehnya, seramai mana pun anak kita, suami tetap berharap bahawa dia tetap anak sulung yang perlu diutamakan. Walaupun suami suka rumah kita kemas, makanan sedap, anak semua terurus tapi dia masih tetap berharap bahawa isterinya tetap menjadi isteri yang melayan dan mendengari suara hati mereka. Seperti isteri, suami juga sedang beradaptasi dengan perubahan hidup yang sedang kita hadapi. Maka, belajarlah untuk saling memahami, membantu, menghargai dan memaafkan kesilapan pasangan kita.
Semoga Allah memperteguh hubungan kita hingga ke syurga. Amin.
No comments:
Post a Comment