Memahami Konsep Memiliki Emas Dengan Pinjaman Ar Rahnu
Pernahkah anda terfikir bahawa membeli emas adalah sama ertinya seperti anda membeli sebuah rumah atau tanah atau apa-apa aset yang lain. Kita sering terlupa bahawa emas juga merupakan aset. Oleh kerana kita hanya memandang emas sebagai barang perhiasan maka pihak yang mendapat keuntungan selalunya golongan yang terlibat di dalam perniagaan emas. Namun begitu, kini saya percaya ramai yang semakin sedar akan perkara ini.
Cuba kita buat penelitian terhadap aset lain seperti rumah dan tanah. Apakah hasil yang kita perolehi dari memilikinya? Kita akan mengaitkan rumah dan tanah petempatan dan juga aset yang mampu memberi kenaikkan nilai selepas tempoh tertentu. Kini gantikan rumah dan tanah kepada emas. Sama bukan?
Ada pihak yang akan mengatakan bahawa rumah atau tanah boleh dibeli melalui pinjaman. Emas tidak. Di sinilah sebenarnya kesilapan yang dilakukan oleh kebanyakkan orang. Mereka terlupa bahawa konsep Ar Rahnu hampir sama dengan konsep membeli rumah atau tanah. Saya akan cuba jelaskan dengan cara yang termudah untuk difahami. Saya akan bahagikan kepada beberapa proses.
Pertama = Proses Membeli.
Membeli rumah atau tanah, tidak perlu bayar harga penuh rumah tersebut. Hanya membayar bayaran pendahuluan (lebih dikenali sebagai duit muka). Proses pertama adalah antara anda dan pemaju atau pemilik tanah.
Kedua = Pinjaman Dari Bank
Proses kedua ini melibatkan pihak ketiga iaitu bank memberi anda pinjaman untuk menjelaskan bagi pihak anda, baki bayaran yang masih anda berhutang dengan pemaju atau pemilik tanah.
Ketiga = Bayaran Semula
Anda kini berhutang dengan pihak bank. Ini kerana pihak bank telah membayar hutang anda dengan pemaju atau pemilik tanah. Bank akan menetapkan bayaran bulanan pinjaman beserta kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (perbankan Islam) yang mesti dibayar setiap bulan.
Keempat = Memiliki Sepenuhnya Atau Menjual
Anda memiliki pilihan di sini. Sama ada anda ingin membayar hingga selesai pinjaman tersebut dan menjualnya, atau anda melihat kadar kenaikkan rumah atau tanah tersebut. Sekiranya harganya naik tinggi anda mungkin menjualnya lebih awal sekiranya hutang anda dengan bank dapat dibayar penuh dan mendapat lebihan tunai tambahan daripada jualan tersebut (membuat keuntungan).
Sebenarnya konsep ini juga boleh dipraktikkan dengan menggunakan kemudahan kredit yang ditawarkan Ar Rahnu. Proses yang sama sahaja dari proses pertama hinggalah proses keempat.
Malah terdapat beberapa kelebihan lain lagi yang terdapat pada emas. Saya akan nyatakan kelebihannya di bawah ini;
1. Pembelian emas boleh dimulakan secara kecil-kecilan dengan konsep ini. Ia bermodalkan serendah RM1000 dan selebihnya berdasarkan kemampuan anda. Sekiranya tanah atau rumah pasti lebih.
2. Sistem Bayaran Semula Ar Rahnnu, tidak mewajibkan anda membayar pokok pinjaman setiap bulan. Apa yang wajib adalah bayaran upah simpan setelah 6 bulan ia di bawah simpanan bank.
3. Faedah dari kenaikkan harga boleh diambil bila-bila masa sekiranya berlaku kenaikkan harga (bahagian ini saya rasa perlu penjelasan lebih mendalam, tetapi tiada apa yang terselindung).
4. Tiada "locking period", di mana anda boleh membayar penuh pada bila-bila masa (sekiranya membeli tanah atau rumah, walau anda selesaikan segala pinjaman awal di dalam tempoh "locking period", anda tetap akan dikenakan penalti).
5. tiada dokumentasi untuk menyemak kemampuan anda membayar semula pinjaman. Anda hanya perlu bawa kad pengenalan. Tidak seperti membeli tanah atau rumah. Pinjaman untuk emas memberikan anda kelayakan membeli 100% selagi anda tidak diisytiharkan muflis.
Memandangkan sudah ada kemudahan kredit sebegini, mengapa anda perlu tunggu lebih lama lagi. Harga emas dijangkakan akan meningkat jauh lebih tinggi lagi sepanjang tempoh 2 tahun akan datang. Untuk anda membeli aset lain, modal yang anda perlukan jauh lebih tinggi. Anda boleh bertindak sekarang untuk berjimat atau bertangguh dan membayar harga yang lebih tinggi lagi di masa akan datang.
Salam..boleh saya dapatkan harga semasa emas 22 & 24k setiap gram yang ditetapkan oleh ar rahnu agro bank buat masa ini...
ReplyDelete